Wednesday 20 August 2014

[Majalah I] Ikhtilaf vs Khilaf: sama tapi tidak serupa

SABAN hari kita melihat pertelingkahan antara sesama Muslim meski apapun dan siapapun mereka. Golongan politkus dengan cara politikusnya, golongan ilmuwan dengan cara keilmuwannya, golongan agamawan dengan cara keagamannya, paling parah adalah golongan jahil dengan cara kejahilannya.

Hakikatnya perbezaan adalah lumrah dan sunnatullah yang tidak dapat diubah lagi. Namun di sana perbezaan sentiasa dilihat sebagai berunsur negatif sedangkan daripada banyak sisi ia adalah satu bentuk rahmat daripada Allah buat manusia dalam pelbagai aspek.

Dalam aspek sosiologi, terdapat banyak ayat al-Quran yang membincangkan mengenai kepelbagaian dalam aspek agama, etnik dan ras dalam dunia ini. Antara yang sering kita dengar adalah firman Allah yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Secara jelas ayat ini menyatakan memang Allah sengaja menjadikan manusia dalam kepelbagaian agar kita semua saling kenal mengenali antara satu sama lain yan di akhirnya membawa kepada perakuan akan kehebatan Allah itu sendiri. Apakah Allah tidak mampu menjadikan hanya satu agama dan bangsa sahaja yang wujud di atas muka bumi ini?

Secara logiknya, jika di atas muka bumi ini hanya wujud satu agama, satu bangsa, satu pemimpin malah nafsu yang diciptakan dalam diri manusia itu pun ditiadakan oleh Allah maka amanlah dunia ini! Namun apakah itu tujuan penciptaan manusia? Tidak. Meskipun ciri-ciri yang disebutkan di atas Allah ciptakan khas untuk kaum Malaikat, ia bukan untuk manusia dan jin.

Bagi pandangan orang beriman dan berakal - kehebatan Allah menciptakan kesatuan bagi kaum Malaikat itu adalah tanda dan bukti kebesaran Allah, manakala kehebatan Allah menciptakan setiap daripada manusia dan jin dengan kepelbagaian jua adalah bukti keagungan ciptaan Allah yang akan menggetarkan jiwa yang berfikir mengenai.

Bayangkan, bagaimana garis cap ibu jari setiap manusia yang wujud dan pernah wujud di atas muka bumi ini tidak mungkin ada yang sama? Siapakah yang menciptakan teknologi tersebut?

Bukan semua perbezaan adalah tercela

Namun sentiasa sahaja manusia melihat ikhtilaf sebagai khilaf sedangkan keduanya meskipun sepintas lalu adalah sama namun sebenarnya berbeza. Benar, ada perbezaan yang menyebabkan kesan yang negatif namun di sana terlalu banyak perbezaan yang sebenarnya bersifat melengkapkan antara satu sama lain.

Siang dan malam, panas dan sejuk, manis dan masam, bijak dan bodoh, lelaki dan wanita dan banyak lagi ciptaan yang Allah sengaja ciptakan dengan zahir yang berbeza sama sekali namun sebenarnya melengkapkan antara satu sama lain. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui.” (Surah Yasin, ayat 32)

Bahkan, antara suami dan isteri jika tidak ada perbezaan antara keduanya hambarlah rumahtangga malah banyak perkara yang tidak beres. Kerana ngalibnya sebuah keluarga yang seimbang ada pasangan suami isteri sentiasa melengkapi kekurangan pasangan masing-masing bukan sebaliknya. Wujudnya keseimbangan kerana keduanya saling melengkapi kekurangan yang ada dan memanfaatnya kelebihan yang wujud antara mereka berdua.

Perbezaan menjadi modal penindasan

Perbezaan anutan agama sering kali dijadikan alat dan asbab bagi manusia meraih kepuasan dan matlamat nafsu masing-masing. Sejarah mencatatkan bagaimana atas nama perbezaan berlakunya peperangan dan pembunuhan dalam agama-agama besar dunia. Demikian dalam isu ras, etnik dan seumpama.

Malah sehingga kini ia masih menjadi sebahagian daripada modal bagi pihak yang berkuasa menindas dan menzalimi sesama manusia. Di Palestine, Muslim terus dilanyak sezalimnya dengan senjata canggih kaum pendatang Zionis. Di China, minoriti Muslim etnik Uigyur terus ditekan dan dinafikan hak beragama mereka termasuk dilarang berpuasa dalam bulan Ramadan.

Kaum Rohingya Muslim terus dilayak di Myanmar yang mana pemimpinnya adalah penerima hadiah nobel keamaan dan keadilan namun dalam hal ini beliau kelihatan tidak mengendahkannya dek kerana kepentingan politik yang mungkin terancam jika mengatakan hanya simpati kepada kaum minoriti ini.

Melayu Muslim di Selatan Thailand terus diberikan tekanan oleh kerajaan mereka atas alasan pengganas dan memperjuangkan pembebasan wilayah selatan Thailand. Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan atas maksud perbezaan yang tidak diraikan haknya itu.

Semuanya kerana perbezaan dilihat sebagai satu ancaman, satu jenayah dan ia dijadikan sebagai bara api sentimen bagi kepentingan politik dan ekonomi pihak-pihak tertentu pastinya.

Adab dalam Ikhtilaf

Khususnya dalam bab perbincangan tentang perbezaan pandangan dalam perbincangan ilmu Islam, suka saya merujuk kepada buku Adab Ikhtilaf: Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah karangan Prof Madya Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari, seorang ilmuwan yang menguasai pelnagai cabang ilmu-ilmu Islam malah prolifik dalam mengarang dan menterjemah pelbagai jenis buku khusus dalam genre ilmu-ilmu syariat Islam.

Kata beliau dalam prakata buku tersebut, “Berbeza pendapat merupakan satu perkara biasa di dalam kehidupan manusia. Ia berlaku di dalam urusan berkaitan peribadi, rumahtangga, masyarakat dan juga negara. Begitu juga di dalam perundangan Islam, yang berkaitan dengan perkara cabang dalam syariat. Di dalam satu-satu isu, kita menemui dua tiga pandangan ulama.”

Beliau kemudian mendatangkan contoh dalam bab muzik yang memperlihatkan ulama berbeza pandangan dalam menetapkan hukumnya sehingga keluar tiga jalur pandangan yang berbeza berdasarkan nas dan hujah masing-masing iaitu harus, halal dan haram. Di sini beliau menekankan kepentingan bagi memahami Adab al-Ikhtilaf dalam mendepani kepelbagaian dalam perbezaan tersebut.

Dengan memahami Adab al-Ikhtilaf yang didasari dengan praktikal akhlak yang tinggi akan melahirkan kalangan kaum Muslimin khususnya para agamawan yang tidak mudah bagi menjatuhkan hukum seseorang yang tidak sehaluan dengan jalur pemikiran mereka sebagai sesat, kafir, bid‘ah, Wahabi dan pelbagai label-label yang negatif lain.

Hal ini boleh dielakkan apabila kita memahami bahawa iktilaf sebenarnya banyak membawa rahmat kepada agama Islam sama ada dalam perbezaan pandangan dalam fiqh mahupun manhaj pembelajaran dalam ilmu akidah.

Memahami perbezaan Ikhtilaf dan Khilaf dalam beragama

Dr Basri dalam buku tersebut juga menjelaskan bahawa terhadap kekeliruan umat dalam memahami makna ikhtilaf dan khilaf. Menurut beliau:

“Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah perbezaan di antara istilah ikhtilaf dan khilaf. Kadang-kadang setengah pihak terkeliru di dalam memahami kedua istilah ini. Sebenarnya ikhtilaf merupakan tabi‘i, yang wujud bersama dengan kwujudan generasi manusia itu sendiri, sedangkan khilaf sebagaimana yang didefiniskan oleh al-Jurjani, tertumpu kepada perbahasan yang berlaku di antara pihak yang bertentangan bagi mencari sesuatu kebenaran atau membatalkan sesuatu kebatilan. Selain daripada itu, ikhtilaf berdasarkan kepada dalil dan bukti, sebaliknya khilaf tidak berdasarkan kepada dalil dan bukti, sebaliknya melibatkan perbahasan untuk semata-mata keluar dari berpegang dengan sesuatu pendapat.”

Kesimpulannya, ikhtilaf berlaku terhadap sesuatu perkara yang maklum diketahui akan perbezaan yang berdiri atas hujah dan nas masing-masing sedangkan khilaf melibatkan wacana bagi keluar daripada tunduk kepada satu pendapat meskipun tiada nas yang jelas bagi disandarkan dalam perkara yang menjadi khilaf tersebut.

No comments:

Post a Comment